Rajinikanth Umum Sertai Politik

NEW DELHI – Ikon layar perak India yang dipuja seperti dewa di sesetengah tempat, Rajinikanth mengumumkan semalam bahawa dia akan menceburi dunia politik.

Menurut AFP, Pengumuman aktor itu mengakhiri penantian hampir dua dekad oleh ramai peminatnya, terutama se­kali di Negeri Tamil Nadu di mana dia dipuja dan digelar ‘The Superstar’, petik Kosmo

“Saya akan menubuhkan parti politik saya sendiri dan bertanding untuk me­rebut semua 234 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya di dalam sebuah dewan dipenuhi penyokongnya di ibu negeri Tamil Nadu, Chennai.

Negeri itu yang mempunyai seramai 72 juta penduduk, berdepan ketidakstabilan politik selepas kematian ketua menteri­nya yang berkarisma, Jaya­lalithaa Jayaram, juga seorang bekas bintang filem.

Rajinikanth, 67, pernah bekerja sebagai seorang konduktor bas di bandar Bangalore, selatan India sebelum berpindah ke Chennai pada tahun 1973 untuk mengejar impiannya menjadi seorang pelakon.

Dia berjaya menjadi bintang filem paling terkenal dalam sejarah dunia per­fileman Tamil.

Rajinikanth menerima pujian meluas kerana hampir seorang diri mengalahkan kerajaan Tamil Nadu pada tahun 1996 dengan meminta penyokongnya agar tidak mengundi parti pemerintah beberapa hari sebelum ­pilihan raya bermula.

“Saya bukan menceburi dunia politik untuk mendapatkan jawatan, wang ataupun kemasyhuran kerana saya sudah memiliki semua ini,” katanya semalam.

Ramai peminatnya membakar mercun, menari dan melaungkan slogan soko­ngan untuk Rajinikanth di luar dewan itu selepas pe­ngumuman tersebut.

Antara filem yang menaik­kan nama pelakon itu termasuk Chandramukhi, Sivaji : The Boss, Kabali dan Padayappa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.