Perang Nuklear AS, Korea Utara Kian Hampir

WASHINGTON – Perang nuklear di antara Amerika Syarikat dan Korea Utara semakin hampir, kata bekas pegawai kanan tentera semalam, menambah beliau tidak melihat kemungkinan penyelesaian diplomatik.

Bekas Pengerusi Ketua Turus Staf AS, Mike Mullen, berkata peningkatan bahaya itu berpunca daripada pentadbiran Presiden Donald Trump yang ‘sangat mengganggu’.

“Pada pandangan saya, keadaan amat bahaya ini wujud dengan ketidaktentuan bagaimana ia berakhir. Berada di tempat teratas dalam senarai ialah Korea Utara.

“Kita semakin hampir dengan perang nuklear dengan Korea Utara dan ia tidak pernah disaksikan sebelum ini.

“Saya tidak melihat peluang menyelesaikan perkara ini menerusi cara diplomatik setakat ini,” katanya dalam rancangan ‘This Week’.

Mullen, yang berkhidmat sebagai penasihat tentera kepada Presiden George W Bush dan Barack Obama, mempersoalkan sama ada Trump dapat dikawal Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis, Penasihat Keselamatan Dalam Negeri, H R McMaster atau Ketua Staf Rumah Putih, John Kelly.

“Adakah beliau akan menyusul retoriknya? Atau berada dalam keadaan yang boleh diselesaikan secara aman?

“Saya cenderung menyatakan retorik akan selalu ada dan mengehadkan kemampuan yang dimiliki Mattis, McMaster dan Kelly,” katanya.

Trump memberi amaran dalam ucapan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, September lalu bahawa AS ‘tidak mempunyai pilihan selain memusnahkan Korea Utara sepenuhnya’ jika terpaksa mempertahankan diri atau sekutunya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.