Muzium Malam Tarikan Baharu Ibu Kota

KUALA LUMPUR – Menghabiskan malam minggu di ibu kota Kuala Lumpur dengan mengunjungi muzium malam, pastinya memberi kelainan baharu untuk peminat dan pencinta sejarah, kesenian serta kebudayaan di negara ini, lapor Bernama

Limpahan cahaya lampu membangkitkan suasana cukup berbeza berbanding kebiasaan ketika mengunjunginya waktu siang.

Tarikan baharu ini yang akan bermula akhir 2018, bukan sahaja menyeronokkan, malah terasa seolah-olah wujud unsur misteri ketika menjejakkan kaki ke muzium.

Lawatan ke tiga muzium iaitu Muzium Tekstil, Muzium Diraja dan Muzium Negara selama tiga jam semasa Pra Pelancaran Denai Malam Di Muzium-Alami Detik Yang Menakjubkan (The Museum Night Trail-Amazing Muzeum At Night) memberi peluang penulis merasai pengalaman itu.

Keunikan muzium malam

Muzium malam dianjurkan di kebanyakan bandar utama dunia dikatakan bermula di Berlin, Jerman pada 1977.

Tidak hanya tertumpu kepada sebuah muzium, pengembaraan ke lokasi berbeza dapat memperlihatkan kepelbagaian khazanah terdapat di negara ini.

Menggunakan pengangkutan bas, pengembaraan di tiga muzium bermula dengan berkumpul di Muzium Negara yang turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Yean Yoke Heng; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Bahrin Kasim dan 25 media tempatan.

Muzium Tekstil menjadi lokasi pertama persinggahan dengan melawat galeri terpilih merangkumi sejarah perkembangan tekstil tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India serta pakaian etnik di Sabah dan Sarawak.

Hampir 45 minit diperuntukkan di sini, sebelum meneruskan perjalanan ke Muzium Diraja.

Muzium Diraja di Istana Negara lama, mula dibuka kepada orang ramai empat tahun lalu. Istana ini menjadi tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dari 1957 hingga 2011.

Di sini, pengunjung dapat merasakan kehidupan di istana, selain mempelajari sejarah Raja-Raja Melayu di Malaysia.

Pengunjung terpegun keunikan Balairong Seri, tempat segala upacara adat dan acara rasmi.
Menikmati makan malam dengan hidangan tradisi lama, antara pengisian ketika berkunjung ke sana. Menu ikan bakar, sayur ulam-ulaman dan diakhiri manisan puding diraja cukup terkenal di Pekan amat membangkitkan selera.

Seterusnya dibawa pula ke Balairong Seri, tempat diadakan segala upacara adat dan acara rasmi istana dengan diberikan penerangan lanjut pihak jabatan muzium.

Kembara malam itu diteruskan dengan kembali ke Muzium Negara untuk melihat koleksi peninggalan sejarah kerajaan Melayu nusantara di Galeri B, sebelum diakhiri persembahan kebudayaan dan joget lambak.

Demonstrasi penyediaan bahan-bahan masakan berasaskan menu tradisi seperti mengukur kelapa dan mengemping padi dapat dilihat di sini.

Inisiatif luar biasa

Sementara itu, Yoke Heng percaya program muzium malam berpotensi menarik lebih ramai pengunjung apabila dibuka di luar waktu operasi.

Selain mempelbagaikan produk pelancongan, ia memberi peluang masyarakat khususnya yang bekerja bersantai bersama keluarga waktu malam.

“Sudah pasti strategi ini mampu menarik lebih ramai masyarakat tempatan yang sentiasa padat dengan jadual kerja pada siang hari.

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman menyediakan bahan masakan berasaskan menu tradisi seperti mengemping padi.
“Melalui program ini, mereka boleh datang seisi keluarga, bukan sahaja menikmati pengalaman melawat muzium pada waktu malam, tetapi juga menyaksikan persembahan kebudayaan dan demonstrasi penyediaan makanan secara tradisional,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sentiasa berusaha merancakkan sektor pelancongan negara ke arah menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelancongan dan kebudayaan dunia.

Katanya, muzium sebagai satu agensi di bawah kementerian, menjadi aset penting ke arah memperkasa pelancongan negara.

Sasaran program

Idea penganjuran muzium malam susulan kejayaan Bermalam di Muzium, anjuran JMM yang dimulakan pada 2005.

Sambutan positif orang ramai telah menjadikannya acara tahunan hingga ramai mencadangkan agar program seperti itu diperluaskan.

Kamarul Bahrin, orang kuat di sebalik idea itu berkata, ia menjadi cadangan untuk dilaksanakan pada tahun depan, yang diyakini dapat memberi impak kepada aktiviti permuziuman terutama kepada pelancong asing, selain dapat merancakkan lagi industri pelancongan negara.

“Buat masa ini tidak banyak aktiviti pada waktu malam yang boleh dilakukan terutama pelancong dan ini akan jadi antara tarikan untuk memenuhi aktiviti mereka terutama pada malam minggu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.