Lopes Sah Sertai TRW

KOTA BHARU – Penyerang dari Brazil, Bruno Lopes yang pernah beraksi bersama pasukan Liga Utama Indonesia, Persija Jakarta sah menyertai Kelantan musim depan.

Pemain berusia 31 tahun itu meluahkan penghargaan dan mengucapkan selamat tinggal kepada bekas pasukannya menerusi akaun Instagram peribadinya hari ini, lapor BH

Menerusi kenyataan yang disertakan dengan gambar bersama Presiden Persija Jakarta, Gede Widiade serta ketua jurulatih, Stefano Cugurra, pemain penyerang itu menzahirkan terima kasih buat pasukan yang disertainya sejak awal musim lalu itu.

“2017 adalah tahun istimewa dan saya berterima kasih kepada Widiade dan Cugurra di atas peluang saya di Persija Jakarta.

“Pasukan ini sentiasa berada dalam hati saya terutama kepada rakan pemain, barisan jurulatih serta paling istimewa penyokong Jakmania (Persija Jakarta).

“Mereka (penyokong) sentiasa menyokong dan ia juga menjadi faktor di atas setiap kemenangan pasukan,” katanya.

Lopes berkata, kenangan yang tidak dapat dilupakan bersama pasukan itu adalah ketika beraksi bagi melayakkan Persija Jakarta ke pentas Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.

Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan bakal mengikat kontrak dengan Lopes.

Kehadiran Lopes amat diharapkan Kelantan selepas kempunan mendapatkan bekas penyerang Melaka United (MU), Marko Simic yang kini menjadi penyerang baru Persija Jakarta selain pemain kebangsaan Filipina, Misagh Bahadoran yang turut menolak tawaran KAFA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.