Lelaki Samun Farmasi

BATANG KALI – Seorang pekerja perempuan di sebuah farmasi di Pekan Ligamas dekat sini disamun seorang lelaki bersenjatakan pisau kira-kira jam 9.40 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Lim Bak Phai berkata, ketika kejadian, pekerja berusia 27 tahun itu berada di kaunter pembayaran sebelum didatangi suspek.

Menurutnya, suspek mengacukan pisau bagi menakutkan mangsa sebelum membawa lari wang tunai berjumlah RM2,300 dengan menunggang motosikal bersama seorang lagi rakan suspek.

“Nombor pendaftaran motosikal belum dikenal pasti dan tiada sebarang kekasaran fizikal berlaku serta mangsa juga tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan sedang giat dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi balai polis berdekatan,”katanya.

Kejadian tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di farmasi itu dan viral di media sosial selepas dimuat naik di laman Facebook Saya Sayang Batang Kali sejak awal pagi tadi.

Berdasarkan video rakaman, suspek memasuki farmasi berkenaan dengan memakai topi keledar dan menuju ke bahagian dalam kaunter pembayaran.

Suspek mengeluarkan pisau yang disembunyikan di dalam baju dan mengacukan ke arah pekerja perempuan terbabit sebelum mengarahkan membuka mesin wang.

Suspek mengambil kesemua wang dari mesin berkenan dan kejadian turut disedari seorang pelanggan perempuan yang berada hampir dengan kaunter pembayaran.

Suspek dilihat beredar keluar dengan menunggang motosikal bersama seorang lagi rakan yang menunggu di hadapan farmasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.