“Kereta Saya Bukan Disita, Saya Beli Secara Tunai” – Aliff Syukri

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa tidak senang dengan perkataan sita susulan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita kereta mewah Rolls Royce miliknya.

Memetik laporan Astro Awani, Pengasas D’Herbs Healthy Sdn Bhd itu mendakwa penggunaan perkataan sita seolah-olah menggambarkan beliau tidak berkemampuan dari segi kewangan sedangkan kereta mewah itu dibeli secara tunai.

“Saya beli Rolls Royce itu secara tunai (cash), dan tiada hutang lagi. Saya lebih mampu untuk membelinya,” katanya dipetik dari laporan tersebut.

Semalam kereta mewah jutawan kosmetik yang popular dengan tagline ‘Terlajak Laris’ itu disita JPJ selepas didapati ada unsur penipuan cukai jalan kerana menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) Sarawak yang lebih rendah harganya berbanding Semenanjung.

“Jika di Semenanjung, LKM kenderaan itu jumlah cukainya lebih RM20,000, namun cukai LKM untuk kenderaan terbabit di Sarawak hanya RM5,873.

“Kita terpaksa sita kenderaan ini sehingga pemiliknya membayar jumlah baki harga cukai LKM yang sepatutnya,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, menerusi kenyataannya kepada BH Online, Aliff mendakwa tidak tahu menahu urusan pembayaran cukai berkenaan.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai pembayaran cukai kereta. Semua perkara berkaitan kereta diuruskan oleh pengurus saya.

“Saya bukan ada satu kereta, saya ada banyak kereta.

“Esok saya akan pulang ke Malaysia untuk menyelesaikan perkara ini. Saya ingin meminta maaf kepada JPJ jika ada buat salah,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.