Digugur Dari Kepimpinan PAS Negeri Kerana Mesra Dengan Kerajaan Selangor – Khairuddin

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman mendakwa digugurkan daripada barisan Jawatankuasa Perhubungan Pas Selangor kerana dasar ‘mesra’ beliau dengan kepimpinan negeri itu.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Paya Jaras itu berkata, dasar Pas Selangor kini sudah berubah selepas parti itu memutuskan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat nasional.

“Pas Selangor tidak sama dengan yang Pas dahulu. Perbezaan  Pas Selangor sudah berubah dari dasar hala tuju. Masalah kita adalah perubahan cara memimpin dalam Pas Selangor.

“Dulu Pas mendukung Kerajaan Selangor. Jadi semasa Pesuruhjaya Pas Selangor iaitu Datuk Dr. Hasan Ali, Dr. Abd Rani Osman dan Datuk Iskandar A Samad memang kita mendukung pemerintahan yang ada.

“Jadi saya rasa ada yang tidak senang dengan cara kita mendukung kerajaan negeri. Itu antara sebab-sebabnya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette.

Khairuddin digugurkan daripada jawatannya selepas hanya kira-kira tiga atau empat bulan dilantik pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Khairuddin tidak menolak ada kemungkinan pihak yang tidak senang dengan cara beliau yang mesra dengan kepimpinan Selangor.

“Kita lebih mesra dengan Kerajaan Selangor dan rakyat sebab yang saya ingat ketiga-tiga bekas pesuruhjaya itu melihat ada keperluan untuk parti meletakkan orang yang boleh berhubung dengan semua komponen parti (ketika itu).

“Saya dilihat sebagai ‘jambatan’ yang boleh menguhubungkan semua komponen parti, sebab selalu berhubung dengan komponen parti ini. Selangor adalah negeri yang mesti ada suasana bercakap dengan parti lain, saya yakin bekas pesuruhjaya terdahulu meletakkan kepercayaan kepada saya menjadi setiausaha pada ketika itu. Tapi sekarang sudah berubah.

“Saya rasa beberapa kepimpinan yang ada di Selangor sekarang  tidak setuju dengan pendekatan selama ini,” katanya.

Pada 9 Mei lalu, Pesuruhjaya Pas Selangor yang baru dilantik, Sallehen Mukhyi bertindak menyusun saf pimpinan parti itu dengan melantik Abdul Halim Omar sebagai setiausaha manakala Khairuddin pula AJK biasa.

Terbaharu Presdien Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pengguguran Khairuddin daripada Jawatankuasa Perhubungan PAS Selangor adalah sebahagian daripada pengurusan organisasi biasa. – MalaysiaGazette.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.