Istana Setuju Tukar MB, Tapi Mahu Semua Exco Dikekalkan Kata Sumber

Alor Setar – Apa  yang pasti Kedah bakal mendapat menteri besar yang baharu dapat tempoh beberapa hari lagi setelah Jemaah Diraja negeri itu mengadakan perjumpaan dengan kesemua 21 Adun Barisan Nasional (BN) di Wisma Darul Aman, Alor Star, esok.

 

Menurut sumber yang dihubungi SuaraTV sebentar tadi, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam satu perjumpaan tertutup bersama beberapa orang Adun BN di rumahnya di Jalan Langgak Duta, jam 6.10 petang tadi.

 

“Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri memaklumkan kemelut kepimpinan di Kedah hampir selesai dan negeri tersebut bakal menerima menteri besar yang baharu.

 

“Yang DiPertuan Agong Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah juga telah berkenan menerima senarai nama Menteri Besar Kedah yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri ketika Perdana Menteri mengadap baginda pada 27 Januari yang lalu” ujar sumber tersebut yang enggan mendedahkan identitinya itu.

 

Menurut sumber itu juga, Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut dikatakan berkenan dengan senarai nama yang dipersembahkan oleh Najib ketika menghadap di Istana Darul Aman di Bukit Persekutuan, Jumaat lalu.

 

“Senarai nama Menteri Besar yang dipersembahkan oleh Najib ketika menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada 29 Januari yang lalu juga turut telah diperkenankan.

 

“Jemaah Pemangku Sultan Kedah juga telah berkenan untuk menggantikan Mukhriz namun hanya akan memutuskan perkata tersebut setelah mengadakan pertemuan tertutup dengan kesemua Adun BN bagi mendengar sendiri pengakuan mereka.

 

“Sekiranya Menteri Besar yang baharu dilantik, Jemaah Pemangku Sultan Kedah mahu agar kesemua atau sekurang 8 orang Exco yang ada dikekalkan bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar” ujar sumber itu lagi.

 

Jemaah Pemangku Sultan Kedah dipengerusikan oleh Tunku Temenggong, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah manakala Tunku Laksamana Kedah, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dan Tunku Panglima Besar Kedah, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan ahli Jemaah Pemangku.

 

Sumber itu turut menjelaskan dalam pertemuan tertutup yang diadakan semalam, kesemua Adun yang hadir turut meminta agar majlis angkat sumpah diadakan selewat-lewatnya Rabu ini.

 

“Dalam pertemuan tersebut, semua Adun yang hadir meminta Perdana Menteri agar memohon perkenanan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk mengadakan majlis akad sumpah selewat-lewatnya hari Rabu sebelum mesyuarat Exco diadakan.

 

“Manakala Perdana Menteri dalam pertemuan tersebut turut meminta kesemua Adun Kedah untuk menerima siapa sahaja calon yang dilantik oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebagai Menteri Besar” katanya lagi.

 

Selain beberapa orang Adun Kedah, Ketua Umno Baling, Datuk Azeez Rahim turut hadir dalam pertemuan tertutup yang berlangsung kira-kira sejam itu.

 

Najib yang juga merupakan Presiden Umno sebelum ini turut menafikan laporan beberapa calon yang dikemukakannya sebagai pengganti menteri besar telah ditolak oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

 

“Tak ada, …tidak betul, …tiada penolakan, majlis berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, Jumaat lalu.

 

Najib ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara tersebut berkata, sebagai Presiden parti, beliau mengambil maklum perkembangan politik di Kedah dan memberikan pertimbangan serius terhadap perkara itu.

 

“Kita dengar ada permasalahan tetapi ini diputuskan oleh Ketua UMNO Bahagian, … 14 Ketua UMNO Bahagian memutuskan perkara ini, jadi sebagai presiden parti, saya kena ambil maklum dan saya kena juga memberi pertimbangan yang serius terhadap pendirian dibuat Ketua UMNO Bahagian,” katanya dalam sidang media tersebut. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.