‘Allahyarham menantu ringan tulang’

JEMPOL – Bapa mertua Allahyarham Kapten Hasman Hussin menyifatkan arwah seorang menantu yang ringan tangan selain disenangi komuniti Felda Palong 13, di sini.

 

Ahmad Mohamad, 56, berkata, menantunya tidak pernah menjadikan pangkatnya sebagai alasan untuk tidak bergaul dengan masyarakat setempat.

 

“Bila ada Allahyarham di sini, semua kerja mudah. kalau ada majlis rewang, dia boleh dikatakan sebagai ‘orang pangkal’ (orang penting).

 

“Kalau bersama orang blok ketika rewang contohnya ketika menggoreng ayam, dia yang habiskan kerja tu. Allahyarham Hasman sangat suka menolong selain peramah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Felda Palong 13, semalam.

 

Hadir sama, Pengerusi Bakat 3 Divisyen, Kem Terendak, Melaka, Zainuriah Mustapha dan Penolong Pengarah Kanan Seranta (Felda), Jabatan Perdana Menteri, Jamaludin Abd Wahab.

 

Katanya, seluruh ahli keluarganya masih terasa kehilangan Hasman berikutan Allahyarham seorang menantu yang baik selain menyayanginya sebagai anak sendiri.

 

“Dulu kalau memancing, arwahlah antara geng yang setia teman saya, selepas ini ia hanya tinggal kenangan,” katanya.

 

Sementara itu, Ahmad juga melahirkan rasa syukur kerana pihak tentera banyak membantu keluarganya termasuklah memaklumkan perkembangan terkini Allahyarham.

 

“Jenazah dijangka tiba esok (hari ini) atau Sabtu. Pihak tentera akan menyiapkan kenderaan untuk keluarga dari Palong ke Melaka. Sekiranya jenazah tiba pada waktu malam, urusan pengebumian akan terus dilakukan pada malam tersebut,” katanya.

 

Penduduk, Siti Norhani Mansor, 48, berkata, jika Allahyarham pulang ke kampung, dia sering bawa anak sulungnya berjalan sekitar kawasan Felda.

 

“Biasanya, kalau nampak saya, Allahyarham akan tegur dan bertanya khabar. Tinggi budi bahasanya, langsung tak sombong walaupun berpangkat,” katanya.-sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.