Pesawat Qatar Dari New York Buat Lencongan Ke Lapangan Terbang Manchester

London – Sebuah pesawat Qatar Airways yang berlepas dari New York terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Manchester di Britain, ekoran isu perubatan yang timbul dalam pesawat itu.

“Kami berdepan isu perubatan kecil di dalam pesawat, jadi kami melencongkan pesawat itu ke Manchester sebagai langkah berjaga-jaga, sebelum ia meneruskan penerbangan ke Doha,” demikian menurut jurucakap lapangan itu yang dipetik Reuters.

Sementara itu, Daily Mail Online melaporkan, penerbangan QR702 terpaksa dilencongkan ke Manchester susulan “gangguan penumpang” dalam pesawat itu.

Pegawai di Lapangan Terbang Manchester hanya dimaklumkan mengenai perkara berkenaan, setengah jam sebelum Boeing 777 itu mendarat, kira-kira jam 9 pagi Khamis.

Menurut jurucakap lapangan terbang itu, juruterbang QR702 tidak mengisytiharkan kecemasan, sebaliknya hanya memaklumkan mereka perlu mendarat, kerana “masalah” yang dihadapi seorang penumpang.

Pesawat itu berlepas dari New York sekitar jam 9.45 malam Rabu (waktu tempatan) dan dijadualkan mendarat di Doha sekitar jam 5 petang Khamis.

Pesawat itu telah menghabiskan dua pertiga perjalanan dari New York ke Doha yang mengambil masa 13 jam. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.