Jenazah Pertama Mangsa Nahas QZ8501 Dikenal Pasti

Surabaya –  Jenazah pertama tragedi nahas pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 sudah dikenal pasti sebagai penumpang wanita bernama Hayati Lutfiah Hamid, warga Indonesia, kata pegawai pasukan forensik polis Indonesia.

Pasukan Polis Daerah Jawa Timur dilaporkan telah mengenal pasti dua jenazah mangsa pesawat yang terhempas di Laut Jawa lima hari lalu namun identiti satu lagi mayat belum diumumkan.

Sebelum itu, ciri-ciri empat mayat mangsa nahas QZ8501 telah dikeluarkan oleh pasukan forensik polis Indonesia yang bertugas di Hospital Sultan Imanuddin.

Keempat-empat mayat itu adalah jenazah mangsa yang telah diterbangkan ke Hospital Surabaya semalam.

Menurut laporan media tempatan Kompas.com, berdasarkan pengenalan awal, empat jenazah berkenaan terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.

Ketua pasukan forensik polis Indonesia, Anton Castilani memberitahu, satu mayat lelaki yang ditemui memakai baju berwarna biru gelap dengan tulisan nombor tiga di lengan kiri.

Manakala satu lagi mayat lelaki memakai kemeja coklat, berseluar jeans biru tua dan pada saku kanannya terdapat telefon bimbit berwarna putih serta memakai jam tangan jenis Rolex di pergelangan tangan kiri.

Sementara itu, satu mayat perempuan yang mengenakan baju serba merah telah disahkan kru pesawat QZ8501.

Manakala mayat perempuan yang terakhir mengenakan baju dan seluar berwarna gelap, mempunyai tatu salib pada bahu kiri, berketinggian 167 sentimeter dan mungkin berusia sekitar 40 tahun.

“Jasad mangsa dalam proses mereput namun masih dalam keadaan sempurna” Jelas Anton.

Selain empat mayat itu, masih ada tiga lagi mayat mangsa nahas yang berada di kapal pasukan mencari dan menyelamat (SAR), di perairan Laut Jawa dekat Pangkalan Bun, Kalimantan.

Ketiga-tiga mayat mangsa masih belum dapat dibawa ke Pangkalan Bun kerana cuaca buruk yang menyukarkan helikopter memindahkan mangsa. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.