Pemimpin PH Panas Gara-Gara Kempen Undi Rosak Penyokong Pembangkang

KUALA LUMPUR — Kempen “undi rosak” yang menjadi perbualan hangat, kadang-kadang tegang, sejak dua minggu lalu makin meluas di media sosial.

Kempen dengan tanda pagar #UndiRosak berada di kedudukan topik 10 teratas yang paling rancak dibincang di Twitter bagi pengguna Malaysia kelmarin.

Ia muncul susulan langkah Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri gabungan tersebut pada 7 Januari lalu.

Semalam beliau sendiri mendakwa kempen di kalangan aktivis muda itu, dikatakan yang pernah membantu pembangkang, digerakkan oleh Umno.

“Ada segelintir orang yang buat promosi boikot pilihan raya, kebanyakan mereka ini datangnya dari parti sebelah sana, parti Umno,” kata Dr Mahathir.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga senada walau tidak bersama PH. Baru-baru ini beliau menegaskan undi rosak “bertentangan dengan Islam”.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, kini bersama parti Dr Mahathir, menyifatkan aktivis itu “fikiran cetek”.

Bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan pula menegaskan rakyat mesti mengundi kali ini untuk perubahan walau sukar menang.

“Kita sedang berdepan dengan krisis dan kita semua mesti bersatu atas tujuan yang lebih tinggi demi negara kita,” katanya.

“Mahathir seorang yang berdisiplin, rajin serta fokus. Itulah yang diperlukan saat ini.”

Ambiga, bekas pengerusi Bersih 2.0, juga menegaskan kali ini “bukan masanya untuk memboikot pilihan raya atau merosakkan undi anda.”

Datuk Ambiga Sreenevasan menggesa semua mengundi untuk membawa perubahan politik di negara ini. — Foto oleh Kamles KumarDatuk Ambiga Sreenevasan menggesa semua mengundi untuk membawa perubahan politik di negara ini. — Foto oleh Kamles Kumar

Namun, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan bersikap “berkecuali” terhadap kempen undi rosak atau calon perdana menteri PH.

“Jika seseorang tidak dapat mempercayai Mahathir, bukan tugas saya atau parti PSM untuk meminta mereka untuk percaya pada Mahathir,” tulisnya.

“Saya juga berpendirian adalah tanggungjawab parti yang hendak memerintah seperti PH untuk meyakinkan rakyat untuk keluar mengundi…”

Pilihan raya umum ke-14 dijangka akan berlangsung beberapa bulan lagi. Namun, kira-kira 4.2 juta rakyat yang layak tidak mendaftar sebagai pemilih.

#UndiRosak, dipercayai digerakkan oleh individu tanpa organisasi rasmi, bertujuan merosakkan undi sebagai bantahan pada PH dan Barisan Nasional.

Seorang daripada mereka, Edy Noor Reduan berkata beliau menyokong kempen itu kerana kelakuan PH yang “menggadaikan prinsip dengan memilih Mahathir”.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu, katanya, individu yang bertanggungjawab “merosakkan banyak sistem demokrasi negara.”

Edy juga berkata “tidak salah mendapat pertolongan Mahathir, tetapi amat tidak masuk akal apabila PH melantik beliau mengetuai gerakan perubahan.”

“Sebab itu saya menyokong kempen kerana tidak diberikan pilihan, yang ada hanya Datuk Seri Najib Razak dan Dr Mahathir, apa lagi yang kita ada?

“Undi rosak ini idea segar untuk mengajar semua parti politik.

“Jika peratusannya [undi rosak] nanti meningkatkan ia adalah signal kepada mereka supaya muhasabah diri,” katanya kepada ProjekMMOsemalam.

Pengundi beratur di luar pusat pengundian di SMK Raja Muda Musa, Kuala Kangsar, 18 Jun 2016. — Foto oleh Farhan Najib Yusoff Pengundi beratur di luar pusat pengundian di SMK Raja Muda Musa, Kuala Kangsar, 18 Jun 2016. — Foto oleh Farhan Najib Yusoff

Sementara aktivis buku Benz Ali menyatakan undi rosak mesti dijayakan agar “PH dapat refleksi diri dan tidak lagi membelakangkan rakyat”.

“Mereka sering menggunakan nama rakyat tanpa langsung merujuk kepada rakyat dalam apa jua keputusan dan tindakan.

“Jadi kita mesti menghukum PH supaya sedar kuasa sebenar di tangan rakyat, bukan melalui telunjuk mereka,” kata penulis “Antithesis” yang diharamkan.

Tidak cukup perdebatan di media sosial, khususnya di Facebook dan Twitter, satu forum “Undi Rosak: Kau Nak Apa Sebenarnya?” dijadual esok malam.

Panelisnya, penulis kolum Hafidz Baharom dan penggerak Projek Dialog Maryam Lee, kedua-duanya dikatakan prokempen Undi Rosak.

Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Asyraf Mustaqim dan ahli jawatankuasa DAP Selangor Edry Faizal pula wakil-wakil suara PH.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum 2008, sebanyak 324,120 kertas undi dianggap rosak, sementara 332,297 kertas undi rosak pada 2013.

Profesor Dr Sivamurugan Pandian dalam tulisannya di Utusan Online pada Jun lalu menyatakan pelbagai faktor menyumbang pola pengundian undi rosak.

“Ramai menamakannya sebagai protes dan tidak ingin mengundi calon lawan bukan sahaja kerana berbeza ideologi politik tetapi pada masa sama tidak mahu melihat mereka meraikan kemenangan.

“Mereka tidak puas hati dengan pemilihan calon atau jentera parti dan ini diterjemah dalam bentuk undian rosak, mungkin juga tidak puas hati dengan kerajaan pusat atau negeri,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia itu. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.