Mat Sabu Bertanding Di Parlimen Kota Raja

PRESIDEN Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu akan bertanding di Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Selain Mohamad, parti itu mengumumkan empat calon mewakili pakatan pembangkang yang bertanding di kerusi parlimen.

Mereka termasuk bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang akan bertanding semula di parlimen itu.

Penyandang Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan penyandang Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin akan kekal bertanding di kawasan masing-masing, manakala Naib Presiden PAN, Hasanuddin Mohd Yunus bertanding di Parlimen Hulu Langat.

Pada majlis pengumuman calon di Shah Alam hari ini, PAN turut mengumumkan wakil untuk bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor termasuk penyandang Hulu Klang, Shaari Sungib dan penyandang Morib, Hasnul Baharuddin.

Penyandang Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud akan bertanding di DUN Seri Serdang; Ketua PAN Sabak Bernam, Ahmad Mustain Othman (Sabak); Naib Pengerusi PAN Selangor, Mariam Abdul Rashid (Sungai Panjang) serta Timbalan Ketua PAN Hulu Selangor, Amran Sakit (Hulu Bernam).

Ia diikuti Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim (Pandan Indah); Ketua Pemuda PAN, Mohd Sany Hamzan (Taman Templer); Ketua PAN Serdang, Mazwan Johar (Sungai Ramal) dan Pengerusi Biro Dakwah PAN Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru).-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *