Jenazah Allahyarham Dr Fadi Akan Dibawa Pulang Ke Gaza

Jenazah Allahyarham Dr Fadi Mohammed Al Batsh yang ditembak mati dekat kediamannya di Setapak kelmarin, akan dibawa balik ke Gaza, di Palestin seperti diminta oleh keluarganya.

Duta Besar Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar H. Al Agha berkata pihak kedutaan telah menerima arahan jelas dari Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk menguruskan segala-galanya termasuk kepulangan ahli keluarganya ke Gaza.

“Proses untuk membawa balik jenazah Allahyarham telahpun bermula tetapi mungkin mengambil masa kerana proses autopsi masih dijalankan.

“Kita juga perlu berbincang dengan kerajaan Mesir kerana kita akan membawa jenayah Allahyarham dari Kaherah ke Gaza. Ia bukan mudah tetapi kita perlu mematuhi dan menghormati undang-undang dan peraturan setiap negara terlibat,” kata beliau ketika ditemui di Hospital Selayang semalam.

Anwar yakin bahawa pihak Malaysia akan bekerjasama dalam usaha ini dan adik Fadi yang dijangka tiba di sini melalui Jerman akan membantu dalam proses membawa balik jenayah Allahyarham.

Fadi,35, pensyarah kanan Kejuruteraan Elektrik di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), ditembak di luar Kondominium Idaman Puteri di Setapak ketika sedang berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimamkan solat Subuh semalam.

Dua lelaki yang menaiki motosikal dikatakan telah menunggunya sebelum melepaskan 10 das tembakan yang mengenai mangsa.

Sementara itu, adik lelaki kepada Fadi, Dr Rami Al Batsh berkata keluarganya di Gaza reda dengan pemergian Allahyarham.

Rami, 31, yang berkomunikasi melalui penterjemah bahasa berkata, urusan jenazah abangnya akan dilakukan hari ini di Unit Perubatan Forensik Hospital Selayang.

“Urusan jenazah abang akan dijalankan pada bila-bila masa sahaja. Saya dan keluarga yang lain berada di Gaza perlu tabah menghadapi kejadian ini dan meneruskan hidup seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital berkenaan.

Rami yang ditemani kira-kira 15 rakannya, tiba di negara ini pada pukul 3 petang tadi dengan menaiki penerbangan dari Jerman.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *