Putrajaya Dijangka Kekal Di Tangan BN

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) dijangka terus mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berdasarkan sokongan dan keyakinan penjawat awam yang masih kekal berdiri teguh di belakang parti itu kata Penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir.

Beliau berkata, biarpun kerusi itu sekurang-kurangnya akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRU-14, situasi itu hanya akan memberikan kelebihan kepada BN kerana undi kepada pembangkang akan berpecah dua.

“Kalau pada PRU-13 menyaksikan pertandingan satu lawan satu dan BN menang dengan majoriti yang tinggi, apatah lagi bila kali ini terdapat pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru, maka undi yang diberi kepada pembangkang akan pecah dua.

“Ini dengan sendirinya memberi kelebihan kepada penyandang, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pastinya akan memberi kemenangan kepada calon BN itu dengan majoriti undi yang lebih baik lagi.

“Kerusi Parlimen Putrajaya akan tetap kekal dalam genggaman BN, kerana penjawat awam masih lagi berdiri teguh di belakang kerajaan pimpinan BN yang banyak membantu dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, petik BH

Sehingga kini, kerusi Parlimen Putrajaya dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang yang juga Setiausaha Agung BN dan Menteri wilayah Persekutuan, Tengku Adnan dengan calon gabungan pembangkang PKR, Datuk Samsu Adabi Mamat dan calon PAS, Zainal Abidin Kidam.

Jumlah pengundi berdaftar bagi PRU-14 di Parlimen itu ialah seramai 27,306 pengundi.

Sehubungan itu, mengulas lanjut mengenai tindakan pembangkang meletakkan bekas pensyarah dan ahli akademik sebagai calon, Jeniri berkata, itu hanyalah sekadar strategi politik untuk memenangi pengundi di kawasan itu yang kebanyakannya penjawat awam yang mempunyai latar belakang akademik yang baik dan juga kesedaran politik yang tinggi.

“Isu yang mungkin dibawa pembangkang di Putrajaya tidak lain adalah isu nasional yang dikitar semula seperti 1MDB dan soal FELDA, ini kerana isu berkaitan penjawat awam sudah pun ditangani oleh kerajaan BN,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, beliau yakin peluangnya sentiasa terbuka dalam persaingannya di kerusi berkenaan biarpun dianggap muka baharu di kawasan itu.

Katanya, pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di kerusi berkenaan disifatkan sebagai saingan terbuka memandangkan semua parti juga mempunyai kelebihan masing-masing.

“Bagi saya (pertembungan tiga penjuru) sangat menarik bukan sahaja di Putrajaya tetapi mana-mana tempat pun, jadi pada saya susah untuk ramalkan berbanding dahulu agak mudah untuk ramalkan.

“Saya berpendapat dengan tiga penjuru ini, opsyen turut terbuka, maknanya mereka (pengundi) ada opsyen terbaik,” katanya ketika ditemui pada kenduri sempena pengisytiharan calon Parlimen PAS Putrajaya di sini.

Beliau berkata, situasi berkenaan juga akan menyebabkan perpecahan undi, sekali gus tiada parti yang dominan pada persaingan PRU-14 di kerusi itu.

Mengenai wawasannya, beliau tidak mempunyai manifesto khusus untuk Putrajaya memandangkan bandar ini lengkap dengan infrastruktur sedia ada.

“Saya akan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sekiranya dipilih menjadi ahli Parlimen kawasan itu memandangkan aspek itu perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Terdahulu, pada PRU-13, Tengku Adnan menang kerusi Parlimen Putrajaya dengan majoriti 5,541 undi menewaskan calon PAS, Husam Musa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *