Kedah Memang Sah Tidak Layak Ke Piala AFC Kata FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Kedah diberi layanan kelas kedua berhubung isu pelesenan AFC.

Dalam satu kenyataan media FAM bersama Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan, keputusan itu dibuat atas sebab kegagalan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menghantar penyata kewangan beraudit, lapor Awani.

Untuk makluman, penyata kewangan beraudit merupakan salah satu kriteria wajib AFC.

“Dengan tarikh akhir ditetapkan sistem CLAS dan tarikh FIB bersidang sudah dilewati, tiada pasukan dibenarkan untuk memuat naik apa juga dokumen tambahan,” kata Hamidin.

Namun untuk pelesenan kelab Liga Super 2018, Kedah diberi pertimbangan biarpun lewat menyerahkan penyata kewangan tersebut, sekaligus diberi kelulusan untuk beraksi dalam Liga Super tahun hadapan.

Bagaimanapun, jika Lesen AFC turut diberikan dalam situasi ini, ia jelas satu tindakan yang tidak betul kerana mengikut rekod dalam  Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS), tiada penyata kewangan diaudit yang telah dihantar oleh Kedah.

Hamidin turut menafikan kenyataan yang dibuat KFA bahawa mereka tidak tahu menahu tentang kegagalan mereka mendapatkan lesen dan bertanding dalam Piala AFC 2018.

“KFA telah diberi surat oleh FAM bertarikh pada 1 November 2017 berhubung keputusan dibuat oleh Badan Rayuan iaitu mereka hanya diberi kelulusan untuk Lesen Kelab FAM manakala masih gagal untuk Lesen Kelab AFC yang membawa maksud Kedah tidak layak untuk beraksi pada pertandingan Piala AFC,” tambah Hamidin.

Kedah selaku juara Piala FA, secara automatik diberi slot ke Piala AFC bersama juara Liga Super, JDT.

Namun dengan perkembangan terbaharu ini, tempat Kedah berkemungkinan akan diganti oleh naib juara Piala FA, Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *