Status Anak Presiden PAS Bukan Kelebihan

MARANG – Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata beliau percaya pengundi menilai calon berdasarkan kredibiliti masing-masing bukan mengikut hubungan keluarga.

Anak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu yang julung kali dicalonkan bertanding mewakili parti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk berkata, statusnya bukan kelebihan untuk memperoleh kemenangan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini, namanya disebut-sebut akan menggantikan bapanya di kerusi DUN Rhu Rendang disandang selama 36 tahun atau lapan penggal, mahu pengundi membuat pilihan berdasarkan kemampuan calon dan bukan faktor lain.

“Saya tidak boleh menjawab bagi pihak pengundi jika ada yang menyatakan status saya sebagai anak Hadi Awang satu kelebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon PAS Terengganu untuk PRU-14 di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, malam tadi, petik BH

Terdahulu, Muhammad Khalil yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Islam, bertanding kerusi DUN Batu Buruk menggantikan penyandangnya, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Katanya, DUN itu adalah teras untuk PAS kerana kekuatan akar umbi walaupun mengaku ia menghadapi krisis kesan tindakan pemimpin yang keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).

Sementara itu, beliau berkata, pengumuman malam tadi menyaksikan tidak kurang 50 calon daripada Dewan Pemuda PAS, sekali gus menunjukkan kepercayaan dan penekanan parti terhadap golongan muda.

Seramai 19 muka baharu calon PAS akan bertanding di kerusi DUN dan Parlimen Terengganu pada PRU-14.

Selain itu, 60 peratus daripada keseluruhan 40 calon PAS di negeri ini memiliki latar belakang dalam bidang pengajian Islam, profesional (22 peratus) dan selebihnya usahawan berjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *