Pengalaman Kerjasama Dengan DAP, PKR Beri Pengajaran Pada PAS

ARAU – Pengalaman bertahaluf siyasi dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat satu ketika dahulu memberi pengajaran berguna kepada Pas supaya tidak mengulangi kerjasama tersebut pada masa akan datang kata Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin.

Beliau berkata, sepanjang tempoh kerjasama tersebut, dapat dilihat bagaimana Pas dikhianati selain kedua-dua parti itu langsung tidak menghormati Pas sehingga akhirnya hubungan tersebut retak dan putus.


Menurutnya, DAP khususnya telah melanggar perjanjian apabila menyentuh perkara yang tidak ada kena-mengena dengan mereka terutama dalam soal hudud.


“Saya akui pada masa itu kami begitu baik, semasa Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) datang Perlis, saya berpeluk dengannya malahan kita tolong DAP ketika mereka bertanding di Titi Tinggi.


“Akhirnya kita telah dikhianati termasuklah PKR semasa di dalam kerjasama, mereka sanggup bersama PAN dengan mengenepikan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.


“Malah banyak lagi perkara yang mereka lakukan termasuk dalam isu Langkah Kajang apabila Pas langsung tidak diberitahu mengenainya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengisytiharan calon PRU-14 di Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyyah (MADI), Jejawi Dalam di sini malam tadi, lapor Utusan

Tambah Hashim lagi, pengalaman bertahaluf siyasi sebelum ini juga banyak mengajar Pas bagaimana untuk melengkapkan diri dengan asas kukuh bagi membina Islam.


Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan seluruh ahli supaya menggunakan pendekatan memberi penerangan bukan dengan menyerang dalam sesuatu perkara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *