Tiada Lagi Lafaz Baiah Tambahan

TUMPAT – Majlis Syura Ulama Pas memutuskan supaya calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di seluruh negara, termasuk Kelantan melafazkan baiah yang seragam tanpa sebarang eleman tambahan seperti lafaz taklik talak tiga kata Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden Pas itu berkata, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa lafaz tambahan di Kelantan iaitu taklik talak tiga dikekalkan sebagaimana dalam PRU-13 baru-baru telah disalah tafsir oleh media.

“Majlis Syura sebenarnya sudah memutuskan tidak ada perbezaan baiah di antara semua negeri termasuk Kelantan.

“Calon komponen dalam Gagasan Sejahtera dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) pula akan menandatangani surat akujanji untuk patuh dan setia pada pilihan rakyat, tidak khianat dan istiqamah dengan perjuangan parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Pra Pengisytiharan Calon di pekarangan Pasar Wakaf Bharu di sini malam tadi, petik Utusan

Sebelum ini, setiap wakil rakyat Pas Kelantan yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Sehubungan itu, perkara tersebut terkandung dalam lafaz baiah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri itu sejak 2004 ketika zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diteruskan sehingga pilihan raya lalu.

Antara wakil rakyat Pas yang melanggar baiah tersebut di Kelantan ialah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *