Sesiapa Saja Boleh Bertanding Di Bagan Datuk

BAGAN DATUK – Sesiapa sahaja yang mahu bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dialu-alukan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga penyandang kerusi Parlimen tersebut berkata, ia akan memeriahkan lagi suasana pilihan raya sekali gus meraikan makna demokrasi.

Bagaimanapun beliau turut mene­gaskan, pengundi Bagan Datuk akan menentukan parti atau individu yang akan memberikan ke­sinambungan serta perkhidmatan yang terbaik untuk mereka kelak.

“Saya tidak dapat menolak parti atau individu yang berniat untuk bersama-sama memberi makna demokrasi di Bagan Datuk ini.

“Tentu sekali rakyat Bagan Datuk boleh menilai siapakah pemimpin yang bermusim, yang datang setiap kali musim menuai tiba. Oleh kerana Bagan Datuk tiada musim buah, kita cuma ada kelapa dan kelapa sawit, maka musim buah tidak seharusnya tiba di Bagan Datuk,” katanya dalam sidang akhbar dihadiri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairudin Tarmizi, petik Utusan

Beliau mengulas berhubung pengu­muman Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM), Ibrahim Mat Zin, 68, atau lebih dikenali sebagai Raja Bomoh Malaysia untuk bertan­ding di Parlimen Bagan Datuk sebagai calon bebas pada PRU-14.

Beliau turut meminta anak muda Bagan Datuk yang berhijrah ke bandar untuk pulang mengundi pada 9 Mei nanti.

“Yang duduk luar dari Bagan Datuk baliklah mengundi kerana hari berkenaan telah diumumkan sebagai cuti umum, memudahkan mereka untuk pulang me­ngundi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *