Manifesto BN Hargai Wanita

MARAN – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dirangka dengan memberi pengiktirafan tertinggi kepada golongan wanita sebagai ejen perubahan dinamik selaras dengan Tahun Memperkasakan Wanita 2018 kata Pengerusi Jawatankuasa Wa­nita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Beliau berkata, manifesto yang dilancarkan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak itu lebih mesra wanita dan keluarga.

Menurutnya, aku janji tersebut meletakkan batu asas kukuh kepada wanita dalam berdepan kepesatan arus pembangunan negara menerusi kepakaran, kerajinan dan kesetiaan kepada tugas serta tanggungjawab dipikul mereka.

“Ini merupakan satu penghormatan yang tinggi diberikan kepada golongan wanita di negara ini,” katanya ketika melancarkan Hari Wanita Antarabangsa peringkat negeri dan merasmikan Kompleks Ibu Tunggal Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Kuala Sentol di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 3, Maran di sini baru-baru ini.

Manifesto BN bagi PRU-14 yang dilancarkan Najib menggariskan 14 teras serta 364 inisiatif dan memberi banyak manfaat kepada rakyat di seluruh negara terma­suk golongan wanita.

Antara aku janji yang melibatkan golongan itu adalah menu­buhkan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) khusus untuk agenda ekonomi wanita, memudah cara proses pemerolehan pinjaman golongan wanita tunggal, memudahkan syarat pinjaman mikro kredit untuk usahawan wanita dan mewujudkan Koperasi Wanita yang menawarkan kemudahan simpanan serta pinjaman kewangan.

Menurut Shahaniza, golongan wanita adalah nadi dan tulang belakang kepada masyarakat serta negara dengan meletakkan mereka di peringkat pembuat dasar sehingga 30 peratus.

Katanya lagi, terdapat peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara yang progresif daripada 48 peratus pada 2011 kepada 52.6 peratus (2013) dan terus meningkat kepada 54.3 peratus (2016).

Tambahnya, sepanjang 50 tahun lalu, penglibatan wanita dalam pembangunan negara semakin berubah dan bertambah penting melibatkan rangka kerja pembangunan negara.

“Wanita bukan sahaja dilihat sebagai ejen pembangunan ekonomi negara malah tunjang utama pembinaan keluarga bahagia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *