BN Boleh Batalkan Projek Terowong

PULAU PINANG – Projek terowong dasar laut yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang di negeri ini boleh dibatalkan tanpa sebarang bayaran pampasan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas negeri ini pada Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kata Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow.

Beliau berkata, perkara itu boleh dilakukan memandangkan perjanjian projek itu tidak menyebut kerajaan negeri perlu membayar pampasan kepada syarikat pemaju sekiranya projek itu dibatalkan.

Sehubungan itu, jelasnya perjanjian itu menyatakan pampasan hanya akan diberikan kepada pemaju bagi kerja-kerja pembinaan yang telah berjalan.

“Persoalannya pembinaan projek terowong dasar laut itu belum pun bermula dan dijangka hanya pada 2027.

“Jadi, apabila manifesto BN menyatakan dengan jelas projek itu akan dibatalkan, kita tidak perlu membayar apa-apa kepada pemaju kerana projeknya belum bermula,” katanya dalam sidang akhbar di sini, lapor Utusan

Tambahnya ketika mengulas dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng semalam kononnya sejumlah pampasan perlu dibayar kepada syarikat pemaju berikutan janji BN untuk membatalkan projek mega bernilai lebih RM6 bilion tersebut.

Mengulas dakwaan Guan Eng itu, Chang Yeow berkata, beliau berasa hairan kerana seolah-olah menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mengetahui de­ngan jelas berhubung perjanjian projek berkenaan.

Beliau turut mengulas mengenai projek pembinaan tiga lebuh raya pula, beliau menjelaskan, projek itu juga akan dibatalkan kerana pe­rancangannya tidak mampu mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas di negeri ini.

“Projek tiga lebuh raya itu tidak membabitkan kawasan-kawasan yang ketika ini mengalami masalah kesesakan yang teruk khususnya di pusat bandar Georgetown,” katanya.

One thought on “BN Boleh Batalkan Projek Terowong

  • April 20, 2018 at 6:47 am
    Permalink

    Mereka telah pun menerima bayaran penuh tanpa apa apa kerja yg dilakukan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *