BN Selangor Kecewa SPR Tunduk Pada Tuntutan PH

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Selangor menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tunduk kepada tekanan kerajaan negeri itu apabila melakukan persempadanan semula kali kedua membabitkan semua kerusi, yang dilihat menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar juga menempelak SPR sebagai tidak membuat kajian dengan lebih teliti berhubung persempadanan semula itu, selepas syor kali pertamanya mendapat bantahan.

Justeru, BN Selangor akan membuat bantahan sebelum 14 Februari ini mengikut ketetapan dan aturan yang ditetapkan perlembagaan, ujar Noh.

“Mesyuarat Umno dan perbincangan saya dengan pimpinan BN, kami telah pun merasa amat terkilan dan juga tidak berpuas hati dengan pameran syor yang kedua ini dan Umno Selangor khususnya telah buat ketetapan bahawa kita akan buat bantahan syor yang kedua ini kerana kita amat kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh SPR.

“Saya rasa hairan bagaimanakah pendirian SPR, sebelum syor yang kedua ini, mereka telah membuat syor yang pertama, adakah waktu membuat syor yang pertama dahulu SPR tidak membuat kajian dengan teliti sehinggakan apabila syor yang pertama itu dibuat bantahan, dan bantahan ini datangnya kebanyakannya dari pihak kerajaan negeri maka kita tengok SPR seolah-olahnya tunduk dan bersetuju dengan hujah-hujah dan syor yang dikemukakan kerajaan negeri.

“Adakah SPR rasa tergugat dengan desakan daripada pihak kerajaan negeri yang kita tahu pihak kerajaan negeri membawa kes ini hingga ke mahkamah,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Bangunan Umno Selangor, petang tadi.

SPR beberapa hari lalu mengemukakan notis atau syor kedua kajian semula persempadan bahagian pilihan raya bagi negeri Selangor di akhbar-akhbar utama.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang itu turut mempersoalkan bagaimana SPR membuat agihan bilangan pengundi berikutan ada secara jelas tidak seimbang.

“Contoh dalam daerah Klang yang juga merangkumi Majlis Perbandaran Klang (MPK), dalam MPK kalau kita lihat ada tiga parlimen, pengundi di setiap kawasan parlimen itu juga tidak seimbang.

“Parlimen Kapar ada 146,000 pengundi, parlimen Klang 98,000, parlimen Kota Raja 110,000 pengundi. Mengapa di parlimen Klang yang betul-betul bandar hanya 98,000 pengundi, Kapar 146,000?” soalnya.

Noh juga membangkitkan isu agihan kerusi Parlimen serta DUN yang dakwanya tidak seimbang.

“Bilangan DUN, dalam daerah Klang yang juga kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK), kalau kita lihat ada tiga parlimen dan ada sembilan DUN.

“Kalau ada sembilan DUN dalam satu daerah, tetapi agihannya tidak adil. Kapar ada empat DUN (Meru, Sementa, Selat Klang dan Sungai Pinang).

“Sedangkan Klang ada tiga DUN (Pelabuhan Klang, Pandamaran, dan Kota Alam Shah), yang pelik Kota Raja pengundinya lebih ramai dari Klang (110,000), tetapi Kota Raja hanya ada dua DUN sahaja (Sri Andalas, Sri Muda).

“Bukan sahaja soal agihan pengundi, agihan DUN juga tidak adil, mengapa tidak ada 3 parlimen, ada 9 DUN supaya ia nampak lebih adil,” ujarnya lagi.

SPR sebelum ini mempamerkan makluman pertukaran nama Parlimen Serdang kepada Bangi dan DUN Batu Caves kepada Sungai Tua, Chempaka kepada Pandan Indah, Teluk Datuk kepada Banting dan Bangi kepada Sungai Ramal. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.