116 Kayu Balak Dikeluarkan Dari Dalam ‘Kubur’

BINTULU – Sarawak Forestry Corporation (SFC) membongkar taktik baharu digunakan lanun rimba di negeri ini yang menyembunyikan balak dalam `kubur balak’ bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan.

Difahamkan, taktik itu terbongkar dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa daripada agensi berkenaan di sebuah kawasan hutan terpencil di Jalan Bintulu – Miri, di sini, Khamis lalu, hasil maklumat penduduk setempat.

Keseluruhannya, 116 balak ditemui disembunyikan dalam beberapa lubang di kawasan itu, dipercayai kaedah digunakan mereka bagi mengaburi kegiatan haram itu daripada dikesan pihak berkuasa, termasuk melalui pemantauan udara.

Jurucakap SFC dalam satu kenyataan berkata, serbuan dilakukan susulan aduan penduduk setempat mengenai kegiatan penebangan dan pemprosesan kayu balak yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Bertindak atas aduan itu, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa dihantar ke lokasi berkenaan bagi melakukan pemeriksaan sebelum mendapati sebahagian besar kawasan terbabit yang juga kawasan tadahan air, mengalami kemusnahan teruk.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui beberapa `kubur balak’ yang memerlukan pegawai dan anggota penguatkuasa kita menjalankan kerja-kerja penggalian bagi membawa keluar balak berkenaan.

Keseluruhannya, 116 balak dikeluarkan dari lubang berkenaan,” katanya. Katanya, jumlah itu tidak termasuk 339 balak pelbagai jenis yang ditemui dalam beberapa longgokan di kawasan berkenaan, dengan sebahagian besarnya sudah siap dipotong dan hanya menunggu masa untuk dibawa ke kilang.

“Berdasarkan modus operandi digunakan, taktik `kubur balak’ terus digunakan lanun rimba bagi mengaburi kegiatan haram mereka. Ia juga boleh mewujudkan satu pemandangan mengelirukan sekiranya operasi pengawasan dan pemantauan dilakukan agensi berkaitan dari udara.

“Ini serbuan kedua dalam tempoh tujuh bulan aktiviti pembalakan haram dikesan berlaku di kawasan berkenaan yang bukan sahaja menyebabkan kemusnahan alam sekitar, bahkan juga menjejaskan hasil cukai negeri,” katanya.

Difahamkan, semua balak haram berkenaan sudah ditandakan bagi tujuan dokumentasi, termasuk spesies kayu dan ukuran dimensinya bagi tujuan siasatan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *